A. Mensyukuri Nikmat Allah
Saban masa dan ketika kita menikmati kurniaan Allah s.w.t.. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan Allah kepada kita. Begitulah perangai kita yang tak ubah seperti kacang lupakan kulit.
1. Menambah Rezeki
Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita.
Selagi kita hidup di muka bumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan Allah. Begitulah penyayangnya Allah yang bersifat Ar-Rahman. Allah menganugerahkan kurniaanNya kepada semua makhluk, sama ada taat kepadaNya atau sebaliknya. Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? Allah masih saying kepada hamba-hambaNya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat itu.
Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah setakat mengucapkan 'Alhamdulillah'. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan berdasarkan prinsip 'amar makruf, nahi munkar' atau buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konstan dan terus menerus.
Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa akan segala kurniaan Allah. Ramai tidak mendirikan solat dan segala amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhanNya dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa ramai hambaNya yang tidak bersyukur. Padahal orang yang bersyukur akan bertambah nikmat dan memperolehi kebahagiaan, sedangkan orang yang enggan bersyukur akan memperolehi penderitaan dan azab yang pedih.
2. Menghilangkan Kesusahan
Oleh itu, sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada Allah, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada Allah dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat.
Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hambaNya yang bersyukur. Kerana syukur itu menambah nikmat, menghilangkan kesusahan, sedangkan kufur itu mendatangkan azab, menambah kesusahan.
B. Di antara fadhilat dan keutamaan surah Ar-Rahman adalah membantu kita menjadi hamba Allah yang bersyukur.
Sumber: Buku Himpunan Fadhilat Ayat-ayat Pilihan